Firman Allah Subhanahu Wataala
dalam surah At-Taubah ayat 36:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللّهِ اثْنَا
عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَات وَالأَرْضَ مِنْهَا
أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلاَ تَظْلِمُواْ فِيهِنَّ
أَنفُسَكُمْ وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَآفَّةً
وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Bermaksud:
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi hukum Allah ialah dua belas
bulan, yang telah ditetapkan dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan
bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah
agama kamu yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam
bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar larangannya.Dan perangilah kaum
kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan
ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa"
Bulan Rejab adalah bulan ketujuh
daripada bulan-bulan dalam hitungan tahun qamariah. Rejab bererti kebesaran dan dinamakan Rejab
kerana bulan ini sangat dimuliakan pada zaman Jahiliah. Dalam bulan ini juga mencatatkan sejarah
penting bagi kehidupan umat Islam kerana dalam bulan ini mengandungi peristiwa
Isra' dan Mikraj Junjungan Nabi Besar kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam
satu peristiwa yang kita telah maklum keagungannya. Umat Islam digalakkan untuk
beribadat sebanyak mungkin pada bulan Rejab ini kerana pada bulan ini Allah
Subhanahu Wataala banyak memberikan pahala kepada mereka yang mengerjakan ibadat
di dalamnya. Di antara amalan-amalan yang digalakkan ke atas orang-orang Islam
untuk mengerjakannya pada bulan Rejab ini ialah:-
Pertama: Membaca Salawat
kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Umat Islam memang digalakkan
untuk membanyakkan membaca salawat pada bila-bila masa terutama pada ketika
pahalanya dilipat gandakan di dalamnya seperti pada bulan Rejab kerana membaca
salawat sangat besar pahalanya.
Sabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam : Antara mafhumnya:" Barangsiapa yang membaca salawat untuk Ku
satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat
sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus
kali. Dan barang siapa yang bersalawat
kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan
dari nifak dan kebebasan dari neraka.
Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati
syahid". [Riwayat At-tabrani].
Kedua: Bertaubat.
Kita digalakkan untuk
memperbanyakkan bertaubat pada bulan Rejab kerana bulan ini adalah bulan
pengampunan.
Ketiga: Berpuasa.
Kita Umat Islam digalakkan untuk
banyak berpuasa pada bulan Rejab. Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh
Al-Baihaqi.Maksudnya: "Sesungguhnya di
dalam syurga itu terdapat sebuah sungai yang disebutkan sungai Rejab, airnya
lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa yang
berpuasa satu hari pada bulan Rejab, Allah akan memberinya minum dari sungai
itu".
Keempat: Berdoa.
Apabila berada di bulan Rejab,
kita berharap agar sampai pula pada bulan Syaaban dan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bulan yang dinanti-nanti oleh
setiap orang Islam yang sentiasa merindui pahala besar.
Selain daripada itu
banyak lagi ibadat-ibadat lain yang mempunyai banyak kelebihan untuk kita
amalkan di bulan ini seperti bersedekah dan melakukan amal jariah yang lain.
Firman Allah Subhanahu Wataala
dalam surah At-Tahrim ayat 8:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى
اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ
وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا
اْلأَنْهَارُ
Bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan bertaubat nasuha mudah-mudahan Tuhan kamu
akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai".
Istimewanya
bulan ini, pada 27 Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj
kepada Rasulullah s. a. w. Pada malam itu, baginda diangkat ke siddaratul
muntaha (langit ketujuh) bertemu secara langsung dengan Allah. Dengan izin Allah, baginda
melihat keadaan syurga dan neraka dan bagaimana umatnya serta umat yang
terdahulu menerima ganjaran kebajikan dan pembalasan dosa yang mereka lakukan di
dunia. Ketika bertemu Allah, Rasulullah saw juga diperintah mengerjakan
sembahyang lima waktu sehari semalam yang mulanya diwajibkan sebanyak 50 waktu.
Inilah keriangan yang paling tinggi daripada Allah kepada Rasulullah dan umatnya
hingga ke hari kiamat.
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً
مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا
حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya: "Maha Suci Allah yang
memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) ada satu malam dari Masjid Haram ke
Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya
tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat". (Surah
al-Isra', ayat 1)
Imam Nawawi seorang tokoh perundangan dalam
Islam, menyatakan dalam kitabnya Syarah Muslim: Perkara sebenar yang
telah disepakati sama ada oleh ulama fiqh (fuqaha), ulama ahli hadith
(muhaddithin) dan ulama ilmu kalam atau ilmu tauhid (mutakallimin),
begitu juga para sahabat (atsar) dan para ulama dahulu dan
mutakhirin, bahawa Nabi Muhammad s. a. w. telah diisra' dan dimikrajkan oleh
Allah s. w. t. dengan roh dan jasadnya sekali. Begitu juga Al Imam Ibnu Hajar
mempunyai pendapat yang sama dalam perkara tersebut.
Menurut Imam Nawawi, tiada alasan
untuk menolak hakikat Isra' Mikraj Nabi s. a. w, dengan roh dan jasadnya sekali,
kerana peristiwa Isra' dan Mikraj agung itu bukan atas usaha ikhtiar Nabi s.a.w
sendiri, sebaliknya Nabi s.a.w menghebahkan kepada orang ramai bahawa baginda
telah diisra' dan dimikrajkan oleh Allah s. w. t. bersama malaikat Jibril.
Kenderaan yang disediakan oleh Allah s. w. t. bernama buraq iaitu kenderaan yang
dicipta dari cahaya. Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi s.a.w
dalam perisitiwa bersejarah diisra' dan dimikrajkan ke langit. Ini bermakna
bahawa Isra' Mikraj adalah suatu peristiwa di luar kemampuan Nabi s.a.w untuk
melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki oleh Allah s. w. t. berlaku ke atas diri
Nabi s.a.w dengan dibantu oleh malaikat Jibril a. s.
Allah SWT melalui firmanNya dalam ayat
pertama surah Al Isra', menjelaskan tentang peristiwa Isra' memulakan dengan
kalimah Subhana "Maha Suci Allah." Ertinya, Allah SWT itu Maha
Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Sekalipun peristiwa Isra'
Mikraj itu perkara luar biasa(ajaib) di sisi akal manusia, tetapi bagi Allah s.
w. t. Yang Maha Suci dari sifat kelemahan, maka Dia boleh melakukan apa jua
perkara pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagi-Nya.
Kalaulah peristiwa Isra' Mikraj itu sekadar
Nabi s.a.w bermimpi pergi ke Baitul Muqaddis dan juga mimpi naik ke langit, maka
kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda Nabi s.a.w, kerana mimpi
adalah perkara biasa bagi semua orang. Bukan Nabi Muhammad sahaja yang boleh
bermimpi naik ke langit, bahkan orang yang bukan taraf nabi pun boleh bermimpi
serupa itu juga.
Dalam peristiwa ini, baginda Rasulullah s. a.
w. dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa
simbolik yang amat ajaib. Antaranya : Satu kaum yang sedang bertanam dan terus
menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar
semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah
s. a. w. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang
digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang
lebih banyak.
Firman Allah:
ُن مَّثَلُ الَّذِينَ
يفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ
حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ
يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: "Bandingan
orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti
sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula
mengandungi seratus biji. Dan ingatlah allah akan melipatgandakan pahala bagi
sesiapa yang dikehendakiNya, dan allah Maha luas kurniaanNya lagi meliputi ilmu
pengetahuanNya".
Baginda juga melalui suatu
tempat yang berbau harum.
Rasulullah s. a. w. diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang
sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi
yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun
kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai
Tuhan).
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan
kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu
dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah, "Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang)."
Rasulullah juga diperlihatkan, sekumpulan
manusia yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis
kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu
dari neraka Jahannam. Kata Jibrail, "Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan
zakat harta mereka".
Baginda juga melihat satu kaum,
lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging
masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail, "Itulah lelaki dan perempuan yang
melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri/suami".
Mudah-mudahan perkara yang
diperlihatkan oleh Allah kepada Baginda Muhammad s.a.w. dapat dijadikan
pengajaran kepada kita semua untuk mendapat rahmat dan kesejah teraan di dunia
dan akhirat.
Disediakan Oleh : Ustaz Haji Mohd. Nawi bin Haji Ismail
E-Pondok